Lekar merupakan salah satu peralatan tradisional Melayu yang digunakan untuk meletakkan periuk atau kuali, namun pada masa kini, Lekar lebih dijadikan sebagai kraftangan dan sering juga digunakan sebagai perhiasan dan juga bekas meletak peralatan kecil dirumah.
Ianya diperbuat melalui anyaman lidi kelapa. Lekar dihasilkan melalui anyaman lidi yang dilentur dan disusun berselang-seli diantara satu sama lain mengikut susunan yang telah ditetapkan untuk membentuk corak yang dikehendaki. Ianya bermula daripada membuat tapak yang akan menentukan saiz Lekar tersebut dan seterusnya menyusun lidi-lidi yang telah dipilih berdasarkan saiz lekar. Selepas susunan dibuat, lidi tersebut perlu ditarik satu persatu bagi mengetatkan dan seterusnya membentuk Lekar yang diinginkan. Pada penghujung susunan lidi tersebut, ia perlu diikat dan dipotong supaya anyaman akan kelihatan kemas dan menarik.
Inilah satu-satunya seni anyaman yang aku sempat belajar daripada arwah nenek Tijah. Ibu kepada ayahku, sejak aku berada disekolah rendah. Setiap kali kami pulang ke Kg Kesang Tua, Jasin, aku akan berusaha belajar daripada nenek sehingga berjaya.
Aku tak ingat, berapa lama aku belajar. Yang pasti, aku tak sempat belajar menganyam tikar mengkuang dan juga membuat beg duit menggunakan benang. Namun aku bangga kerana akulah satu-satu cucu beliau yang sempat belajar dan meneruskan kesinambungan pembuatan ‘LEKAR’.