Selamat Pagi Beijing - MH370 dalam kenangan : Bab 3 - KUL-HKG-PEK
Selepas beberapa panggilan telefon dibuat dan perbincangan bersama dilakukan, kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Beijing. Lagi pun kami telah selesai check in dan hanya menunggu panggilan untuk masuk ke dalam perut kapal terbang sahaja.
Suasana di balai menuggu masih kecoh dengan berita tergempar yang baru diterima sebelumnya. Sana sini orang ramai masih bercerita tentang insiden yang baru berlaku. Pelbagai spekulasi telah beredar di alam maya dengan bermacam-macam teori dan juga cerita.
Keputusan kami untuk meneruskan perjalanan telah dimaklumkan kepada keluarga dan juga rakan-rakan yang mengikuti perkembangan kami dari jauh. Mereka terus mendoakan agar keselamatan dan perjalanan kami selamat.
Akhirnya kami dibenarkan masuk ke dalam pesawat Cathay Pasific sekitar jam 8.30 pagi untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan seterusnya transit beberapa minit untuk pertukaran kapal terbang ke Beijing pula.
Sekitar jam 1.00 tengahari kami telah menghampiri ke destinasi. Aku asyik memandang ke luar bagi menikmati pemandangan Hong Kong dari tingkap pesawat. Tidak banyak yang aku nampak kecuali laut yang terbentang luas serta bangunan pencakar langit yang bersepah di sekeliling Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.
Kami telah dimaklumkan oleh peramugari bertugas untuk segera keluar dari pesawat dan terus ke pintu perlepasan penerbangan China Air untuk ke Beijing pula.
Sebaik sahaja kami menjejakkan kaki di balai berlepas, kami telah disambut oleh salah seorang pegawai penerbangan sambil memegang sepanduk tertulis nama kami bertiga.
Sebaik sahaja memperkenalkan diri, beliau meminta kami untuk bergerak pantas dengan berlari-lari anak memandangkan kapal terbang kami telah sedia untuk berlepas dan hanya menunggu ketibaan kami sahaja.
Kami masuk ke kabin penumpang bagaikan VVIP kerana semua mata tertumpu ke arah kami dan menjadi penumpang terakhir yang masuk. Kami hanya mampu tersenyum apabila melewati barisan penumpang yang telah sediada didalam pesawat. Cathay Pasific (CX720 terus bergerak meninggalkan Hong Kong menuju ke Beijing.
Arwah Hanizar sempat berpesan pada aku supaya tidak memesan makanan jika diminta oleh cabin crew kerana bimbang ianya tidak boleh dimakan oleh kami. Kebetulan pula beliau ada membawa sedikit bekalan roti, itulah yang kami kongsi bersama sebagai alas perut.
Alhamdulillah, sekitar jam 5.30 petang kami mendarat di Beijing Capital International Airport. Sebaik sampai di balai ketibaan, Bryan dan arwah Hanizar terus mengaktifkan internet mereka dan sekali gus menerima banyak pesanan dan mesej melalui aplikasi whatsapp dan juga sms.
Kami telah dimaklumkan bahawa sejak dari awal pagi lagi keadaan di balai ketibaan antarabangsa telah penuh sesak dengan orang ramai serta berlaku kekecohan berpunca daripada insiden MH370. Ramai pemberita, sanak saudara, waris serta para pegawai dari pelbagai pihak yang berkaitan dan berkepentingan telah mula berkumpul di kawasan tersebut sejak dari awal pagi lagi untuk mendapatkan berita terkini.
Berlaku beberapa kejadian yang agak tegang diantara waris penumpang MH370 dan juga pihak berkuasa, memaksa pihak polis dipanggil untuk mengawal keadaan serta bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Kami sangat bernasib baik kerana pesawat kami turun di pintu yang jauh dari kawasan kekecohan tersebut. Kami keluar dari pintu pesawat dan melalui imigresen dalam keadaan yang tenang dan selamat sehingalah sampai di kawasan lobi.
Kami keluar dari bangunan lapangan terbang serta menuju ke stesen keretapi utama bagi mendapatkan tren bawah tanah untuk ke tempat penginapan kami yang terletak tidak berapa jauh dari Bandaraya Beijing. Keadaan cuaca pada ketika itu agak mendung, sejuk serta berangin, membuatkan aku teruja terutama sekali apabila melihat pemandangan yang menakjubkan di luar bangunan lapangan terbang tersebut.
Arwah Hanizar dan Bryan terus berjalan menuju ke stesen keretapi bawah tanah yang terletak tidak jauh dari pintu keluar sehingga meninggalkan aku di belakang kerana terlalu leka berjalan sambil melihat pemandangan indah yang tidak pernah aku saksikan.
Stesen keretapi tersebut merupakan stesen terakhir dari luar dan juga stesen pertama yang bermula dari lapangan terbang untuk ke destinasi yang berikutnya.
Aku masih dapat melihat dan mengekori arwah Hanizar dan juga Bryan dari belakang sehinggalah mereka masuk ke dalam keretapi. Namun, ketika aku hanya beberapa langkah sahaja untuk melewati pintu masuk, pintu gerabak mulai tertutup secara automatik. Aku panik seketika apabila tidak dapat masuk untuk bersama dengan mereka di dalam keretapi. Secara tiba-tiba, seribu persoalan terus muncul dalam fikiran aku.
Sejujurnya aku memang tidak tahu kemanakah destinasi mereka yang seterusnya, hotel mana yang kami akan duduk dan yang paling penting, aku langsung tidak tahu berbahasa kantonis.
Aduh! Apa yang perlu aku lakukan? Habislah aku kali ini. Sudahlah baru pertama kali menjejakkan kaki ke negera China. Langsung tiada kenalan atau nombor untuk dihubungi.
Lebih parah, aku juga tiada talian telefon malah aku langsung tidak mengaktifkan ‘roaming’ untuk internet. Aku tiada juga perancangan untuk membeli kad sim tempatan.
Dalam pada itu, keretapi terus bergerak meninggalkan aku dan juga penumpang lain yang aku kira tidak mempunyai masalah kecuali aku kerana telah terpisah dari arwah Hanizar dan Bryan gara-gara terlalu asyik dengan pemandangan baharu.
Adakah aku dapat bertemu kembali dengan Bryan dan arwah Hanizar? Mimpi ngeri aku baru sahaja bermula.
Bersambung ..