Selamat Pagi Beijing - MH370 dalam kenangan : Bab 4 - Kena tinggal dengan Keretapi
Beijing Capital airport Express - Sumber : https://www.chinaairlinetravel.com/airport-guide/beijing-international-airport/airport-express-railway.htm
Kami perlu menaiki Express Train untuk keluar dari Airport dan bertukar ke Subway di dua buah stesen iaitu Dongzhimen Station dan juga Jianguomen Station sebelum sampai di Wangfujing Street yang menempatkan hotel kami. Perjalanan mengambil masa sekitar 40 minit.
—------------------------------------
Pintu gerabak telah tertutup rapat sebaik sahaja aku sampai di muka pintu. Terdiam seketika dan langsung tidak dapat berfikir bagaimana untuk membukanya kembali. Aku memandang ke arah arwah Hanizar dan Bryan yang telah berada didalam gerabak dengan harapan mereka dapat berbuat sesuatu.
“Ah sudah, nak buat apa ni?” mulut aku terus mengomel. Mata aku cuba mencari kakitangan stesen atau sesiapa sahaja yang boleh membantu aku. Namun sia-sia sahaja. Beberapa saat kemudian kelihatan gerabak bergerak perlahan - lahan meninggalkan aku yang terus tercegat di situ.
Dalam pada itu, tanpa sedar sebenarnya kami secara spontan telah cuba berkomunikasi dalam bahasa isyarat memandangkan kami tidak dapat mendengar di antara satu dengan yang lain.
Arwah Hanizar menunjukkan isyarat 1 (satu) sambil menuding jari telunjuk ke hadapan. Aku terus mengangguk dan menunjukkan ibu jari tanda faham dengan apa yang beliau maksudkan.
“Tunggu satu stesen di hadapan”. Aku rasa itulah yang arwah Hanizar maksudkan dan aku berdoa agar telahan aku itu tepat.
Gerabak terus meluncur laju tanpa rasa bersalah kerana telah meninggalkan seorang rakyat Malaysia yang baru pertama kali menjejakkan kaki di Beijing. Aku cuba untuk bertenang walaupun aku sebenarnya sedang berpeluh dalam kesejukan. Berbagai bayangan ngeri mula muncul di benak fikiranku.
Berita ini sudah pasti akan tersebar luas di dada akhbar mahupun media digital tentang seorang rakyat Malaysia sesat di Airport Beijing.
“Ya Allah selamatkanlah aku”. Ayat yang terus bermain di bibirku entah buat kali yang keberapa.
Allah makbulkan doa aku kerana tidak lama kemudian, sebuah gerabak lain tiba dan aku tanpa berlengah terus masuk tanpa banyak soal dengan harapan agar gerabak ini akan menuju ke laluan yang sama dengan mereka tadi. Jika tidak, tak tahulah apa yang perlu aku lakukan.
Keretapi bergerak meninggalkan stesen Beijing Capital International Airport dengan laju sekali. Aku berdoa agar dapat bertemu semula dengan arwah Hanizar dan juga Bryan.
Tidak sampai 5 minit, gerabak kembali bergerak perlahan menandakan akan berhenti di stesen yang berikutnya. Kelihatan ramai penumpang yang sedang menunggu dan akhirnya aku nampak kelibat arwah Hanizar dan Bryan betul-betul dihadapan pintu masuk gerabak apabila keretapi berhenti. Aku tersenyum lega dan gembira.
Sebaik sahaja pintu dibuka, mereka masuk dan terus mendapatkan aku sambil menahan ketawa. Aku yang dari tadi agak panik, terus ketawa dan memeluk mereka berdua. Tak sangka, kami dapat mengharungi dugaan hari pertama di Beijing dengan jaya sekali. Dan yang paling penting, kami berjaya berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat.
Gerabak meluncur laju ke destinasi yang dituju dan Bryan menjalankan tanggungjawab yang amat cemerlang sekali. Dua kali bertukar Subway di dua stesen yang berlainan tanpa membeli atau mendapatkan tiket yang lain. Hebat ye.
bersambung .....
Line 2 of the Beijing Subway - Sumber : https://en.wikipedia.org/wiki/Line_2_%28Beijing_Subway%29