- Aku dan kehidupan
-
COMMENTS
- Hits: 480
Reunion Datang Lagi -11.11.11
- Aku dan kehidupan
-
COMMENTS
- Hits: 480
Esok, sebagaimana tahun-tahun lepas, sejak 22 tahun yang lalu, xsas88 akan mengadakan majlis perjumpaan atau reunion atau hari keluarga xsas88 buat kali yg ke 13 sejak diasaskan pada Mac 1989. Pada kali ini, warga xsas88 akan bertandang ke selatan tanah air iaitu Johor Baharu dimana majlis pada kali ini telah diuruskan oleh rakan-rakan yang berada di sekitar JB, diketuai oleh Rafeah dan turut dibantu oleh rakan-rakan xsas yang lain. Pemilihan JB telah dipersetujui oleh rakan-rakan yang hadir pada reunion@tekam pada tahun lepas.
Hotel Selesa menjadi pilihan,
sembang dan tawa amat ditunggu-tunggukan,
Rakan-rakan berkenderaan memenuhkan jalan,
hadir bagi merealisasikan impian.
Namun pada kali ini, buat pertama kalinya, aku tidak dapat hadir dan merasai saat-saat manis berhimpun bersama xsas88 didalam satu majlis yang gilang-gemilang. Ya, memang pelik dan macam tak percaya kerana sejak aku asaskan xsas88 ini, 22 tahun yang lepas, akulah orang yang paling sibuk kecuali pada 2 ‘reunion’ terakhir iaitu 2009 di Pulau Pinang yang diuruskan oleh Hazrin & Mayam dan pada tahun 2010 yang diuruskan oleh Murad.
Tiada apa yang boleh aku lontarkan bagi penyebab ketidakhadiran aku pada kali ini kecuali, ingin bersama isteri dan keluargaku yang sedang menunggu saat-saat kehadiran cahaya mata yang ke tiga. Dalam usia yang besar, aku tidak mahu menanggung risiko dan seterusnya merumitkan keadaan isteri tersayang. Pernah aku maklumkan pada 2 reunion terdahulu bahawa, aku merasakan yang tugas aku telah selesai .. bagi menyatukan kembali rakan-rakan seperjuangan yang pernah berada di bawah satu bumbung suatu ketika dahulu. Bagi memastikan persahabatan yang tercipta pada tanggal 7 Januari 1984 akan tetap utuh tak hilang dek zaman.
Teringat dahulu, aku terpaksa menghubungi setiap seorang, berjumpa dan memujuk untuk menyertai reunion. Mencari rakan-rakan yang tidak dapat dihubungi melalui berbagai cara. EPF, Bank akaun, surat dan menjejaki mereka sampai ke rumah sebagaimana alamat yang tertera di Majalah Jasa, semua itu telah aku buat bersama rakan-rakan yang sudi membantu. Ada yang malu, ada yang berat hati, ada yang tidak mahu langsung berjumpa, ada yang mahu melupakan terus dan bermacam-macam lagi alasan yang mereka berikan. Namun aku tidak berputus asa .. hampir setiap kali reunion aku akan menghubungi mereka … memujuk untuk hadir, merapatkan kembali silaturrahim yang telah terputus.
Tersenyum sendirian pabila aku teringat kembali … YA, tugas aku memang telah selesai. Xsas88 yang telah aku asaskan 22 tahun dahulu kini boleh berdiri megah dengan disokong oleh rakan-rakan yang sama-sama menangis pabila sedih dan tertawa dikala gembira. Aku sendiri telah menyaksikan bahawa bibit-bibit kemesraan yang hadir pada ketika ini adalah hasil dari titik rasa yang telah aku mulakan 22 tahun dahulu. Gembira bila aku melihat ada rakan-rakan aku yang suatu ketika dahulu tak pernah bercakap sesama mereka walau sepatah selama 5 tahun di Semsas, namun nampak mesra bila hadir ke reunion. Gembira bila melihat mereka girang bertepuk tampar tanpa ada rasa segan dan dapat menerima keadaan rakan-rakan tanpa mengenal pangkat dan kedudukan.
Suka aku mengenangkan kembali sejarah yang pernah tercatat didalam diari perjalanan xsas88.
12 Mac 1989
Majis pembentukan Jawatankuasa xsas88 : Pada waktu ini sebenarnya aku sedang berkerja disebuah syarikat percetakan t-shirt di Kuantan dan aku serta beberapa rakan yang tinggal disekitar Kuantan, telah bersetuju untuk membentuk xsas88. Aku telah dilantik menjadi Presiden … dan dibawahnya ada beberapa orang AJK.
24 – 26 Mac 1989
Aktiviti pertama : Majlis interaksi bersama pelajar tingkatan 1, Semsas dan mengadakan perlawanan Bola Tampar dan Bola Keranjang persahabatan diantara guru, pelajar dan bekas pelajar.
Aktiviti kami terhenti sewaktu kemasukan ke IPTA/S bermula pada Jun 1989. Namun, aku tidak terus berhenti daripada mengumpulkan maklumat rakan-rakan yang berjaya menyambung pengajian, yang terus berkerja dan sebagainya.
15 – 16 Jun 1991
Mesyuarat Agong kali pertama dan mengadakan ‘Carear Talk’ bersama pelajar tingkatan 5, Semsas. Pada ketika ini sebenarnya aku sedang menjalani latikan praktikal di Jabatan Perancang Bandar, Majlis Perbandaran Kuantan. Pada kesempatan ini, kami berjaya mengumpulkan lebih 70 orang dari seluruh IPTA untuk memberikan taklimat mengenai kursus dan IPTA yang mereka duduki. Aku telah dilantik sebagai Presiden, lagi….
18 – 19 Jun 1994
Reunion di Jasmine Villa, Balok. – Tak banyak yang aku ingat mengenai majlis ini kecuali Jasmin Villa yang aku lihat tahun lepas, hampir menyembah bumi.
27 – 28 Mei 1995
Reunion di Taman Pertanian Bkt Cerakah, Shah Alam ini adalah majlis BBQ yang diadakan pada waktu malam. Yang paling aku ingat, Superman aka Azhar Sulaiman datang sekejap bersama Ahmad Idham.
17 – 18 April 1999
Corel Beach Resort (De Rhu) – Ulang Tahun ke 10. Pada reunion kali ini ada sedikit perubahan di saat akhir yang melibatkan pihak penganjuran dan juga perubahan tempat majlis. Namun, atas dasar persahabatan yang telah kukuh, semua masalah dapat diselesaikan dengan baik.
3 – 4 Nov 2001
Reunion di Selesa Hill Home, Bentong. Pertama kali t-shirt xsas88 yang berwarna merah telah diperkenalkan. Aku telah dilantik sebagai Presiden Seumur Hidup. Satu jawatan yang tidak pernah tergambar didalam fikiran aku sewaktu mula-mula aku menubuhkan xsas88.
5 Oktober 2002
Majlis Makan Malam di Grand Blue Wave, Shah Alam. Lain daripada yang sebelumnya dimana hanya majlis makan malam sahaja tanpa ada aktiviti lain. Namun rakan-rakan tetap seronok kerana jumlah kehadiran yang ramai dan juga majlis turut dihadiri oleh Sdr Ismail Abdullah selaku wakil EXSAS.
30 Ogos – 1 Sept 2003
Reunion di Tamu Kami, Balok. Pada tahun ini juga xsas88 telah berjaya menganjurkan kejohanan boling exsas buat kali yang pertama.
2 – 3 Okt 2004
Lawatan/Konvoi ke Cameron Highland. Berjaya mengumpulkan sebanyak 12 buah kenderaan dikalangan warga xsas88. Sdr Vive telah sudi menjadi ‘tourist guide’ ketika lawatan disana.
27 – 28 Dis 2008
De Rhu Beach Resort, Kuantan. Kali kedua didakan di tempat yang sama.
4 – 6 Dis 2009
Safira Country Club, Seberang Prai, Pulau Pinang. Pada tahun ini, buat pertama kalinya penganjuran telah dibuka kepada sesiapa yang berminat dan cabaran ini telah disambut oleh Mayam serta S’hawk yang telah berjaya mengadakan reunion di Pulau Pinang.
29 – 31 Okt 2010
Tekam Plantation Resort, Jerantut, Pahang. Selepas kejayaan Mayam dan Shawk pada penganjuran reunion tahun lepas, maka cabaran diteruskan dan Murad telah mengetuai rakan- rakan yang berada disekitar Jengka untuk mengadakan reunion pada kali ini.
11 – 13 Nov 2011
Hotel Selesa, Johor Bahru, Johor
Ini adalah sebahagian daripada sejarah xsas88 yang sempat aku coretkan buat tatapan rakan-rakan semua. Bukan niat untuk bangga diri, tapi sekadar catatan untuk disimpan sebagai kenangan dan bahan sejarah dikemudian hari. Supaya anak cucu kita nanti akan tahu betapa agungnya persahabatan kita selama ini dan supaya mereka jaga dan pupuk persahabatan ini hingga ke hujung dunia.
Buat rakan-rakanku yang kini berada di Johor Baharu, sedang berada di reunion buat kali yang ke 13, aku harapkan agar kalian gembira dan supaya majlis yang dirancang berjalan dengan lancar dan berjaya.
Aku hanyalah insan biasa yang mempunyai beribu kekurangan. Ada kala aku gembira, ada kala aku juga menangis. Namun biar hati ini yang berasa. Izinkan aku mengundur diri bagi mencari kedamaian dihati. Tanpa ada rasa berat hati. Izinkan aku menjadi orang biasa … tanpa ada rasa luar biasa.
Qisan
Alam Budiman
4.22 am
12 November 2011