- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 666
Panggilan 'Arafah 1444H : BAB 5 - Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji (BRRJH).
- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 666
Melalui perbualan telefon dengan pegawai TH Shah Alam, beliau meminta aku menekan butang TERIMA didalam aplikasi THijari sekiranya bersetuju untuk menerima tawaraan menunaikan haji dan seterusnya mengisi maklumat yang diperlukan sebelum hadir ke TH berhampiran untuk mengambil Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji (BRRJH) bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.
Aku perlu bertindak segera kerana hanya selepas menerima tawaran haji secara rasmi dari TH dan mendapat kelulusan kesihatan, barulah isteriku boleh membuat rayuan. Berdebar dan kecut perut aku dibuatnya. Mana pernah buat ‘full medical checkup’ oiii!!.
27 Mac 2023 aku ke TH Shah Alam untuk pengesahan penerimaan tawaran dan aku dibekalkan borang mahram yang perlu mendapatkan pengesahan dari pejabat agama serta Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji (BRRJH).
Aku: “Assalamualaikum Ustaz Suhaimi, esok ada dipejabat ke? Kebetulan saya nak ke pejabat agama untuk sahkan sijil nikah, boleh saya singgah jumpa kejap?
Ustaz Suhaimi: “Alhamdulillah, dapat tawaran haji ke? Boleh insyaAllah saya ada dipejabat esok. Takde masalah, saya boleh sahkan. Tahniah yer.”. Macam tahu je Ustaz ni yang aku dapat tawaran menunaikan haji.
28 Mac 2023, seawal jam 7 pagi aku menghubungi Ustaz Suhaimi ketika di dalam perjalanan ke Pejabat Pendaftar Perkahwinan di Bangunan MAIS.
Alhamdulillah kebetulan orang tak ramai. Ustaz Suhaimi sendiri yang mengecop dan menanda tangan borang pengesahan mahram yang diberikan oleh TH. Tertera nama Suhaimi Ahmad Wakid, Pendaftar Perkahwinan, Penceraian Dan Rujuk Orang Islam Daerah Petaling. Baru aku tahu tugas beliau yang sebenarnya.
Banyak ‘tips’ yang diberikan oleh Ustaz dan yang paling aku ingat adalah beliau berpesan supaya kami banyak bersabar semasa di tanah suci atas apa jua dugaan dan cabaran dari pelbagai cara yang akan datang serta mengucapkan tahniah kepada aku dan juga isteri.
Ustaz Suhaimi merupakan salah seorang pelanggan ONEXOX aku dan beliau serta keluarga merupakan diantara pengguna yang paling banyak menggunakan perkhidmatan aku. Terima kasih Ustaz.
Selesai urusan di Bangunan Sultan Idris Shah, sekitar jam 11 pagi aku sampai di Klinik Radia, Bukit Jelutong, Shah Alam sebagaimana temujanji yang telah aku aturkan semalam. Untuk makluman, doktor klinik ini merupakan salah seorang petugas haji pada musim 1443H yang lalu.
Sebenarnya bakal haji boleh memilih samada ingin membuat pemeriksaan di klinik kerajaan atau pun swasta. Disebabkan aku memang nak cepat, maka aku memilih swasta walaupun tahu kosnya agak tinggi.
Tak lama aku diruang menunggu, aku terus diminta untuk ke bilik pemeriksaan. Semasa ujian BP (Blood Preasure), nurse maklumkan yang bacaan aku ‘tak cantik’. Alamak, aku panik dan terdiam sekejap. Macam tak percaya sebab selama ni BP aku takde masalah. Beberapa saat kemudian baru otak aku dapat kenal pasti punca.
“OK nurse, bagi saya ‘calm down’ sekejap. Kebetulan saya parking kat 7E. Jauh tu jalan kaki nak sampai sini” Aku tersengeh minta persetujuan.
“Oh patutlah, jauh tu, takde parking yer? Ok takpe, Encik rehat dulu nanti saya datang semula yer.”. Fuh!! aku mengurut dada tanda lega.
10 minit kemudian nurse datang semula dengan ‘gear’nya dan terus membuat pemeriksaan. Alhamdulillah, bacaan BP kembali normal dan seterusnya bacaan berat dan juga tinggi diambil. ‘Obes’ katanya dan aku terus tersenyum kelat. Kemudian aku diminta untuk tunggu diluar sebentar sementara doktor panggil.
“Encik Azhar, bilik konsultasi 1 yer”. Pinta nurse tadi.
Dengan penuh debaran, aku melangkah masuk ke bilik konsultasi 1 untuk berjumpa doktor. Ambik darah sikit untuk semak bacaan gula. Alhamdulillah cantik memandangkan aku memang belum makan apa-apa lagi sejak dari pagi tadi.
Seterusnya doktor buat ujian jantung pula. Habis dipasangnya wayar kat seluruh dada, kaki dan tangan aku. Alhamdulillah semuanya OK.
“Encik nak ambil 1 suntikan wajib dulu atau nak ambik 3 suntikan sekali gus?” Tanya doktor.
“Bagi saya 1 suntikan wajib dulu boleh? Yang lain tu saya akan buat kemudian sebelum berangkat ke Mekah.”.
Doktor bersetuju dan dia berpesan tentang keperluan untuk mengambil 2 vaksin yang lain kerana kita tidak tahu virus apa yang dibawa oleh jemaah haji lain terutama yang datang dari negara lain.
“InsyaAllah doktor”. Aku menjawab dengan yakin. Memang kena ambik vaksin tambahan ni sebab di sana keadaan persekitaran dan cuaca tak sama. Panas dan kering. Di Malaysia panas tetapi lembab.
Alhamdulillah, walaupun keputusannya ‘kuning’ aku lulus dalam semua pemeriksaan yang dijalankan dan sekali gus dibenarkan untuk pergi menunaikan haji pada tahun ini. Syukur Ya Allah.
Aku bergegas ke kereta kerana perlu meneruskan perjalanan ke Tabung Haji Shah Alam untuk proses yang seterusnya.