- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 594
Panggilan 'Arafah 1444H : Bab 24 - King Abdullah Al Saud Gate (New Wing)
- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 594
Jumaat ke 2 kami berada di Kota Mekah dan sebelas hari menjelang Hari Wukuf. Seawal jam 2.30 pagi 16 Jun 2023, kami telah berada dijalanan menuju ke masjid untuk menunaikan solat subuh.
Rutin biasa sebaik sampai di masjid, aku dan kebanyakkan jemaah yang lain akan melakukan seberapa banyak solat sunat seperti solat tahajjud, solat taubat, solat hajat dan juga solat witir. Kemudian aku akan berzikir sehinggalah azan subuh berkumandang.
Sarapan pagi di food court Makkah Tower yang kebanyakkan menawarkan masakan arab dan western tidak seperti di Al Safwah Tower. Kami makan ala kadar kerana perlu bergegas untuk masuk semula ke dalam masjid seawal yang boleh.
Aku bercadang untuk menunaikan solat Jumaat di masjid baharu yang juga disebut New Wing dan King Abdullah Al Saud Gate (Pintu 100). Khabarnya, binaan bangunan masjid baharu ini sangat cantik dan mempesonakan dan ia sangat besar. Pembinaannya masih berjalan namun ada sebahagiannya telahpun dibuka terutama pada musim haji kali ini.
Dari dataran masjid aku terus berjalan ke arah kiri, melalui Hotel Intercontinental Dar Al Tawhid di sebelah kiri dan pintu 66 di sebelah kanan. Sebelum masuk melalui pintu 104, aku menuju ke tempat wuduk dan tandas yang berada di tingkat bawah dan turun menggunakan eskalator. Ruang wuduk dan tandas yang disediakan sangat selesa dan lebih moden berbanding dengan di kawasan masjid yang asal.
Jam menunjukkan ke pukul 9.01 pagi dan aku telah pun berada diantara beribu jemaah haji yang berada di kawasan baharu Masjidil Haram. Aku memilih untuk berada berhampiran dengan bangunan masjid yang lama.
Selama lebih kurang 4 jam menunggu waktu zohor, berbagai aksi telah aku buat bagi menghilangkan rasa mengantuk dan juga sakit pada bahagian kaki. Penat dan sakit lutut bila bersila, aku melunjurkan kaki dan diulang beberapa kali dan akhirnya aku terus berdiri sambil berzikir. Itulah jalan yang paling selamat.
Sewaktu menunggu ini aku berkenalan dengan seorang jemaah yang berasal dari Filipina bernama Maula Ibrahim. Beliau seorang pesara sebuah majlis perbandaran dan kini menguruskan sebuah madrasah bersama ahli keluarga beliau. Seronok berbual walaupun ada sekatan dari segi bahasa.
Selesai solat sekitar jam 1.10 tengahari, aku mengambil peluang untuk mengambil gambar suasana dan keindahan senibina gambar didalam masjid sebelum bertemu semula dengan isteriku sekitar jam 1.20 tengahari. Kami bergambar dipintu 100 dan kawasan sekitarnya.
Subhanallah, kami dapat lihat betapa besar dan cantiknya kawasan masjid baharu yang sedang didalam pembinaan. Entah bila akan siap sepenuhnya aku pun tak tahu.