Percayalah, tiada seorang ayah atau ibu yang sanggup melihat anak-anaknya 'susah'. Mereka akan sedaya upaya berusaha untuk memenuhi kehendak anak-anak selagi termampu walaupun dia sendiri terpaksa 'ikat perut'.
Yang pasti, kita tak tahu dan tidak mengerti akan keperitan dan kesedihan yang mereka alami suatu ketika dahulu kerana kita ditatang bagai minyak yang penuh. Mereka berkorban jiwa dan raga untuk mencorakkan canvas kehidupan yang bakal kita tempuhi apabila dewasa kelak.
Percayalah, semua ibu dan bapa mahu memberikan sebuah kehidupan yang baik dan sempurna kepada anak-anak meraka. Namun kita juga kena percaya kepada qada' dan qadar yang telah ditentukan. Apa yang berlaku itu semuanya telah ditakdirkan oleh Yang Maha Esa. Samada kejayaan, kegagalan, kekurangan mahupun kelebihan semuanya telah tertulis sejak di Lauhul Mahfuz lagi.
Sekiranya kita berjaya, ucaplah syukur kepada Allah dan juga kedua ibu dan bapa kerana sudah pasti ianya hasil dari doa dan usaha keras mereka selama ini. Namun sekiranya kita gagal, janganlah pula kita salahkan mereka kerana semuanya ada hikmah dan pengajaran tersendiri. Redho adalah kata kuncinya.
Jangan pula kita membenci hanya kerana mereka tidak dapat memenuhi kehendak kita ataupun kerana kehidupan kita yang susah dan sempit pada masa sekarang. Jangan sesekali, kerana semua kejadian itu sudah pasti ada puncanya.
Adakah kita sememangnya layak untuk berjaya? Adakah kita mempunyai sesuatu yang menghalang dari menerima kejayaan atau kebaikan tersebut?. Tepuk dada tanya selera.
Allah menegur kita dengan pebagai cara samada secara terus ataupun melalui makhluk yang lain. Samada kita sedar ataupun tidak. Samada kita menerima ataupun tidak teguran tersebut atau bagaimanakah tindakan kita selepas itu.
Anakanda Azhar - Hidup Berjasa
@Alam Budiman