- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 711
Panggilan 'Arafah 1444H : Bab 8 - Kursus Perdana Haji Selangor 1444H
- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 711
26 April 2023, kami baru dimaklumkan tentang Kursus Perdana Haji (KPH) Selangor 2023 bakal diadakan pada 6 dan 7 Mei 2023 bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau Masjid Negeri, Shah Alam, Selangor dan kami bersetuju untuk hadir memandangkan aku memang tidak pernah pergi ke mana-mana kursus haji sebelum ini kecuali isteri yang pernah hadir di beberapa kursus siri yang dianjurkan oleh Tabung Haji.
Ramai juga bakal haji didalam group whatsapp kami yang pernah menyertai kursus-kursus haji samada yang dianjurkan oleh Tabung Haji mahupun pihak swasta. Mereka yang pernah melaksanakan umrah sebelum ini pun pasti akan mendapat kelebihan dan memudahkan mereka semasa mengerjakan haji kelak. Untung lah!
Bagi kami yang bukan sahaja tidak pernah menjejakkan kaki di bumi Mekah dan Madinah, malah terbang ke negara timur tengah pun jauh sama sekali. Kami akur yang perjalanan kami untuk mengerjakan haji ini bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dipandang ringan.
Pendaftaran kursus bermula jam 5 petang dan kami digalakkan untuk terus memakai kain ihram bagi lelaki namun kebanyakkannya hanya memakai ihram sebaik sahaja praktikal ibadah umrah (tawaf, saie dan tahallul) akan dimulakan. Pertama kali memakai kain ihram dan ia tidaklah sesusah mana namun agak kekok terutama sekali sewaktu mengerjakan solat maghrib. Macam-macam aksi yang aku perasan (nampak ketika solat sunat yer..).
Kami dimaklumkan bahawa hampir 6 ribu daripada 8 ribu bakal haji dari seluruh Selangor hadir dalam program ini dan secara tidak langsung ia memberikan gambaran sebenar beginilah keadaan umat manusia yang ramai sedang berkumpul pada suatu masa dan pada satu tempat yang sama.
Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas sewaktu latihan praktikal tawaf di ‘baitullah’, melontar dan juga saie. Kecut perut apabila membayangkan betapa realitinya nanti, berjuta jemaah sedang mengerjakan haji, yang hadir dari segenap pelosok dunia. Subhanallah, sesuatu yang tidak tergambar buat masa sekarang.
Hari pertama kursus berakhir agak lewat dan kami memutuskan untuk tidak tidur di masjid memandangkan rumah kami tidaklah begitu jauh berbanding mereka yang datang dari luar Shah Alam seperti Sungai Besar, Selayang, Dengkil dan juga Morib. Maka kami tidaklah merasai pengalaman bagaimana tidur berhimpit di satu tempat yang sama.
Namun begitu sebelum azan subuh berkumandang pada keesokan paginya, kami telah pun kembali ke Masjid Negeri untuk menunaikan fardu subuh dan menghadiri program yang seterusnya.
Selama 2 hari kursus tersebut, banyak perkongsian info dan ilmu dari ahli panel yang pastinya akan digunakan disepanjang tempoh kami berada di tanah suci nanti. Semuanya telah jelas samada dari segi teori mahupun praktikalnya InsyaAllah akan memudahkan kami.
Dimaklumkan juga Sultan Selangor serta Permaisuri baginda akan turut sama berangkat mengerjakan haji pada tahun ini melalui Tabung Haji dan baginda berdua juga akan hadir pada sesi penutupan Kurus Perdana Haji Selangor 2023.
Kerajaan Negeri Selangor melalui Sel Care (Program Selvax) telah menaja dos vaksin pneumokokal (pilihan) secara percuma kepada semua jemaah haji Selangor. Selain daripada itu jemaah haji Selangor (B40 dan M40) juga diberitakan bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 setiap seorang serta barangan kesihatan melalui MBI. Terima kasih Kerajaan Negeri Selangor.
Semasa berlangsungnya kursus ini juga aku berkesempatan bertemu dengan sahabat batch di SEMSAS iaitu Nizar Sham aka Warq dan juga Rimah. Aku juga terjumpa Saudara Zamzuri (89) dan juga Bro Ismail (79) bersama isteri dan juga anakanda perempuan beliau. Alhamdulillah mereka juga dijemput untuk mengerjakan haji pada tahun ini.
Selesai acara penutupan kursus yang telah disempurnakan oleh Sultan Selangor, aku bergegas ke kawasan yang telah ditetapkan untuk pengambilan vaksin yang diberikan secara percuma oleh Kerajaan Negeri Selangor. Begitu ramai bakal haji yang ingin mendapatkannya sehingga keadaan menjadi sesak dan berlaku sedikit kekecohan akibat dari salah faham namun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Aku salah seorang yang berjaya mendapatkan vaksin pada hari tersebut. Alhamdulillah.
Isteri aku tidak turut serta memandangkan beliau telah pun mengambil kesemua dos vaksin (wajib dan pilihan) sewaktu pemeriksaan kesihatan tempohari.
Sebenarnya, bakal haji Selangor masih boleh mendapatkan dos vaksin percuma selepas ini, cuma mereka perlu hadir ke Klinik Selcare di UNISEL Seksyen 7 bermula pada 8 Mei sehingga 15 Jun 2023, 9 pagi hingga 5 petang. Bagus kan?
Sebaik selesai suntikan vaksin, kami bertemu semula di tapak gerai-gerai jualan barangan haji yang dibuka diperkarangan tempat letak kereta bersebelahan dengan masjid bersempena dengan kursus perdana. Terdapat banyak barang yang dijual dengan harga yang berpatutan.
Kami mengambil kesempatan untuk memberi beberapa barangan yang masih belum ada sebelum bertolak kembali ke rumah.