- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 936
Panggilan 'Arafah 1444H : Bab 12 - Mekah, kami datang, 4 Jun 2023
- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 936
Hari yang dinanti-nantikan telah pun tiba. Persiapan selama berminggu-minggu kini sampai ke penghujungnya. Sekitar jam 8 malam tadi kami menghantar Oyen dan Mochi untuk ‘check in’ hotel yang akan ‘mereka’ tinggal selama 47 hari berikutnya.
Sebelum itu Kak Dewi, kakak iparku bersama anak dan menantu beliau singgah dari Setia Alam. Keluarga 4’s juga sempat hadir untuk memberikan ‘kata-kata semangat’ sambil kami mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana sudi menjaga rumah kami sepanjang tempoh menunaikan haji.
Malam tadi pun kami berjaga hingga lewat malam untuk persiapan terakhir. Sempat tidur sekejap tapi tak lena kerana asyik terkenangkan tentang perjalanan haji yang bakal kami tempohi mulai esok. Macam tak percaya, “betul ke aku nak ke Mekah?”.
Selepas subuh, kami terus bersiap menunggu kedatangan Kak Yah dan Jeli. Kami akan menaiki kereta bersama Kak Yah, manakala Jeli akan membawa mak mertua. Syikim dan Izat juga turut serta dengan kenderaan lain bersama anak-anak kami.
Di luar, hujan gerimis masih membasahi bumi tatkala kami sedang menyusun beg kedalam perut kereta Kak Yah. Kelihatan Apeng, baru sahaja sampai ke rumah kami. Rumah beliau hanya sepelaung sahaja dari rumah kami. Doa selamat dibacakan oleh Jeli, memohon agar dipermudahkan segala urusan dan sebagai tanda perjalanan kami baru sahaja bermula. Hujan mulai reda bagai meraikan pemergian kami ke tanah suci.
Aku dan Apeng bermaafan sambil saling berpesan diantara satu sama lain. Kami mulai kenal sewaktu sama-sama berada didalam persatuan penduduk dan kebetulan beliau juga berasal dan bersekolah di Pahang juga sama dengan aku.
Selepas menutup operasi pejabat aku di Worldwide Business Centre, Seksyen 13 pada tahun 2014, di sini lah aku cuba membina semula saki baki perjuangan didalam perniagaan. Terima kasih kerana memberikan peluang kepada aku untuk terus ‘berkarya’ di pejabat ini.
Terima kasih atas peluang yang diberi sehingga aku dapat pergi mengerjakan haji, sesuatu yang diluar jangka. InsyaAllah aku akan berdoa dihadapan ka’abah agar seluruh keluarga HPCS diberkati dan dipelihara Allah. Semoga projek-projek yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Terima kasih atas segalanya.
Tepat jam 6.50 pagi kereta Kak Yah mulai bergerak ke destinasi dan diikuti oleh kereta Jeli. Sepanjang perjalanan kami tidak banyak berbicara, hanya mendengar pesanan demi pesanan dari Hajah Kak Yah yang telah terlebih dahulu mengerjakan haji dan umrah daripada kami. Banyak tips berguna yang dikongsikan oleh beliau.
Fikiran aku berlegar-legar terkenangkan kembali detik perjalanan haji kami. Siapa sangka secara tiba-tiba aku berubah fikiran untuk aku menerima tawaran dari Tabung Haji dan betapa gembiranya isteriku pada ketika mendengar persetujuan dari aku.
Aku teringat kata-kata ayah ketika kami berpelukan sewaktu beliau menziarahi kami minggu lepas.
“Alhamdulillah, kau dapat pergi dulu sebelum ayah. Doakan ayah dapat kesana nanti”. Luruh air mata aku tatkala mendengar kata-kata ayah.
Sebenarnya ayah berpeluang mengunjungi Mekah sewaktu beliau bersama Kumpulan Kesenian Dan Kebudayaan Negeri Pahang mengadakan lawatan dan pertunjukan kebudayaan Malaysia ke Timur Tengah, namun ianya tidak kesampaian atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan. InsyaAllah suatu hari nanti ayah dan emak akan kesana juga.
Perjalanan pagi Ahad sangat lancar dan kami sampai ke Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA sekitar jam 7.40 pagi. Keadaaan belum sesak memandangkan masih terlalu awal lagi. Aku terus menurunkan beg di tempat yang dikhaskan untuk para jemaah dan terus menuju ke kawasan café. Kami berkumpul sekeluarga sambil bersarapan pagi.
Jam 7.53 pagi kami mula beratur di kaunter pengambilan beg sandang dan prosesnya tidaklah terlalu lama. Di dalam beg tersebut terdapat lanyard dan tag pengenalan diri, rantai tangan dan juga tikar. Sementara menunggu proses yang seterusnya kami mengambil kesempatan untuk membalut beg besar kami supaya keselamatannya lebih terjamin.
Sekitar jam 9.30 pagi, petugas meminta para jemaah yang telah selesai mengambil beg sandang untuk masuk ke ruangan ‘check in’ bagi proses yang seterusnya. Inilah waktunya kami bakal berpisah dengan ahli keluarga yang lain.
Argghh!! Aku cuba menahan dari rasa sedih. Aku cuba mengelak dari menangis seperti jemaah yang lain. Sebelum ini aku sering melihat video-video yang dikongsi oleh petugas dan juga ahli keluarga tentang saat-saat perpisahan ini.
Ramai yang menangis dan tidak dapat menahan sebak kerana yang pasti mereka tidak akan dapat bersua muka dalam jangka masa yang agak lama. Apakah perpisahan ini hanya sementara ataupun perpisahan yang kekal selamanya. Adakah kami akan bertemu kembali selepas ini? Persoalan yang tidak mugkin akan dapat jawapannya, hanya Allah yang Maha Mengetahui dan penentu segalanya.
Kami sempat berpelukan bersama anak-anak sambil cuba untuk menahan sebak didada. Allahuakhbar. Ya Allah, pertemukanlah kami semula nanti.
Di ruangan ‘check in’ kami beratur untuk mengambil passport dan juga boarding pass. Di dalam passport juga dikepilkan sekali Visa Haji yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi. Prosesnya juga tidaklah terlalu lama kerana ia telah disusun dengan sebaiknya oleh para petugas.
“Ambil gambar passport dan juga Visa Haji” pesan aku kepada isteri kerana kami telah dimaklumkan supaya menyimpan salinan passport dan juga visa untuk kemudahan jika diperlukan nanti.
Seterusnya kami beratur untuk scan, timbang dan check in bagasi yang besar untuk dimuatkan diruang bagasi kapal terbang. Alhamdulillah, beg kami tidak melebihi berat yang ditentukan iaitu 25 kg serta tidak membawa barangan yang dilarang samada didalam beg besar ataupun beg kecil untuk hand luggage.
Selesai menguruskan luggage sekitar jam 10.15 pagi, kami terus masuk ke dalam dewan taklimat yang disediakan. Ketika itu jemaah masih belum ramai dan terdapat banyak kerusi kosong. Sebelum itu, kami diminta untuk join in whatsapp group KT56 melalui qr code yang ditampal dipintu masuk dewan untuk memudahkan perkongsian maklumat oleh para petugas.
Kami juga diminta untuk sekurang-kurangnya memakai kain ihram dibahagian bawah dan juga t’shirt biasa dibahagian atas bagi memudahkan proses miqat didalam kapal terbang semasa perjalanan nanti.
Maklumat serta perkongsian yang diberikan semasa sesi taklimat sangat berguna dan memberikan manafaat kepada para jemaah. Sekitar jam 11.45 pagi, dengan diiringi oleh laungan azan yang dari petugas, kami mula bergerak untuk menaiki bas yang disediakan.
12.15 petang bas mulai bergerak diiringi oleh polis trafik secara konvoi dan bas kami antara yang dihadapan sekali. Bas kami dibawa masuk terus ke balai berlepas melalui landasan dan tidak melalui proses sebagaimana biasa.
Kami sampai ke ruangan menunggu yang disediakan sebelum ke kaunter imigresen Malaysia dan Arab Saudi. Waktu Zohor telah pun masuk dan kami dibenarkan untuk melakukan solat jamak diruangan kecil yang disediakan.
Makkah Route mulai diperkenalkan pada tahun 2017 dan pada tahun ini Malaysia sekali lagi terpilih menyertai inisiatif itu bersama empat lagi negara iaitu Maghribi, Pakistan, Indonesia dan Bangladesh.
Menerusi inisiatif itu, anggota imigresen Arab Saudi yang berada di kaunter di KLIA bagi program itu akan memeriksa pasport jemaah haji dan apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah jemaah haji tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam di sana. Petikan dari Astro Awani.
Aku panik seketika kerana scanner imigresen Arab Saudi tidak dapat membaca cap jari aku. Dua tiga kali mencuba akhirnya berjaya. Mengucap panjang pegawai imigresen tersebut.
Proses berakhir sekitar jam 2 petang dan kami berkumpul sekali lagi dibalai berlepas yang lebih luas dan selesa berbanding sebelum ini. Ruang solat juga besar dan lebih banyak tempat duduk untuk berehat. Kami juga diberikan makan tengahari berupa nasi goreng dan mee hoon goreng bersama teh tarik.
Penerbangan kami sebelum ini dijangka pada jam 4.15 petang namun ia telah ditunda kepada jam 5.15 petang. Lebih kurang jam 4.30 petang kami diminta duduk berkumpul mengikut nombor kerusi masng-masing supaya proses masuk ke pesawat lebih mudah dan teratur.
Akhirnya kami dibenarkan masuk ke pesawat sekitar jam 5.15 petang. Kerusi kami berdua berhampiran dengan tingkap dan tidak ditengah-tengah yang menempatkan 4 kerusi penumpang. Pada waktu ini debaran dirasakan semakin memuncak memandangkan kami bakal mengharungi tempoh perjalanan yang agak panjang iaitu selama lebih kurang 8 jam.
Jam 5.46 petang tayar pesawat mulai bergerak ke landasan untuk memulakan penerbangan ke Jeddah. Pesawat meluncur laju dan terus terbang keangkasa membelah awan. Maka bermulalah perjalanan haji bagi jemaah KT056.
Pesawat terus terbang dengan kelajuan lebih 800km/j dan aku seperti biasa tidak dapat melelapkan mata walaupun habis mencuba. Pelbagai persoalan bermain difikiran bagi menghadapi 47 hari yang mendatang. Semoga perjalanan kami diberkati dan sampai didestinasi yang dituju.
Pada ketika ini sebenarnya kami langsung tidak menjangka bahawa jemaah yang duduk berhampiran dengan kami ini sebenarnya bakal roommate kami di Mekah nanti.