- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 780
Panggilan 'Arafah 1444H : Bab 13 - Mekah kami datang (Bahagian 2)
- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 780
Selain daripada penerbangan jauh pertama aku dari Kuala Lumpur - Hong Kong – Beijing pada tahun 2014 dahulu, ini adalah kali yang ke dua dan aku tidak mahu terlepas saat-saat berharga disepanjang penerbangan ini. Aku cuba berjaga, sesekali aku menoleh melihat isteriku yang tidur disebelah sambil mengucapkan rasa syukur kehadrat Allah swt.
Namun aku juga perlu tidur walau seketika bagi mendapatkan kembali tenaga memandangkan kami akan melaksanakan umrah wajib sejurus tiba di Mekah nanti. Sebagaimana yang dirancang, kami akan melakukan Haji Tamattu’ sebagaimana kebanyakkan jemaah Malaysia yang lain kerana ia sesuai dengan kami.
Asyik melihat screen dihadapanku, pesawat MH8118 yang berangkat dari KLIA sekitar jam 5.57 petang, 4 Jun 2023 terbang melalui Medan (Indonesia), Chennai dan Bangalore (India), memasuki Oman dan terus ke King Abdulaziz Internatiol Airport, Jeddah. Perjalanan akan mengambil masa selama 8 jam 35 minit dan dijangka mendarat pada jam 9.45 malam waktu tempatan.
Sesekali kapten dan juga anak kapal membuat pengumuman dengan memberikan informasi terkini mengenai pesawat dan juga penerbangan. Ramai jemaah yang tidur dan tidak kurang juga yang berbual-bual tentang pelbagai perkara selain daripada berzikir dan juga bersalawat.
Tanpa sedar, tiba-tiba aku terdengar pengumuman meminta semua jemaah lelaki untuk memakai kain ihram yang lengkap menandakan kami hampir sampai ke destinasi. Berdebar-debar dan teruja rasanya. Sekitar jam 9.08 malam waktu tempatan iaitu 30 minit sebelum mendarat, anak kapal bertugas mengumumkan yang pesawat sedang melintasi Miqat Qarnul Manazir dan mengingatkan supaya para jemaah untuk memulakan niat ihram.
Sejurus selepas pengumuman, makan malam terakhir kami didalam pesawat mula diedarkan dan keadaan menjadi riuh seketika.
Tepat jam 9.43 malam, pesawat kami mendarat di Lapangan Terbang King Abdulaziz, Jeddah dengan selamat. Sebelum kami keluar dari perut pesawat aku sempat mengaktifkan telefon bimbit dengan roaming data DIGI yang aku sediakan dari Malaysia. Di sini, DIGI bekerjasama dengan Zain KSA dan buat masa ini kelajuan data nampak amat baik sekali.
Dengan adanya Mecca Route yang aku cerita di dalam bab 12 sebelum ini, kami tidak lagi perlu beratur dikaunter imigresen Arab Saudi ketika sampai. Kami keluar dari pesawat dan terus diminta untuk menaiki bas yang telah tersedia menunggu di dalam kawasan lapangan terbang.
Sedikit kelakar apabila bas airport yang kami naiki sebenarnya adalah untuk melintasi laluan yang tidak sampai pun 20meter ke ruang ketibaan yang disambut oleh para petugas lapangan terbang dan juga petugas muassasah. Mungkin pejalan kaki tidak dibenarkan melintasi laluan tersebut. Kami hanya mampu tersenyum memandang sesama sendiri.
Kelihatan lebih 10 buah bas sedang menunggu jemaah dan sebelum menaiki bas kami perlu menyerahkan passport kepada petugas muassasah bagi tujuan keselamatan. Disinilah aku terfikir kenapa perlunya salinan passport dan juga visa dibuat pada awalnya. Sekitar jam 10.30 malam kami telah berada didalam bas dan di dalam perjalanan ke Kota Mekah.
Perasaan aku bercampur baur serta teruja kerana berpakaian ihram buat pertama kali sambil menyaksikan pemandangan yang tidak pernah aku lihat sebelum ini dan ia bukan sesuatu yang biasa bagi aku.
Kami sampai di check point sebelum memasuki Mekah dan seorang petugas muassasah menaiki bas kami untuk mengedarkan air mineral kepada setiap orang sambil menadah tangan meminta sedekah. Aku hanya tersenyum melihatnya.
Perjalanan selama 1 jam bagaikan tidak terasa dan akhirnya kami sampai di hotel penginapan sekitar jam 11.45 malam. Aku perasan yang keadaan laluan masuk untuk bas tadi sangat sempit dan sedikit kotor. Aku diam dan hanya berbicara didalam hati sahaja.
Semasa menunggu giliran didalam bas, kami telah diberikan sticker setiap seorang yang memaklumkan nama hotel, bilik dan juga tingkat bilik penginapam. Jemaah hanya perlu membawa beg hand luggage manakala beg besar akan akan dihantar ke tingkat masing-masing oleh para petugas selepas ini.
Dimaklumkan bahawa kami hanya akan melaksanakan tawaf, saie dan tahlul umrah selepas solat subuh keesokan pagi dan kami diminta untuk berkumpul di lobi hotel pada jam 5 pagi nanti untuk taklimat Tawaf Umrah dan seterusnya bergerak ke Masjidil Haram.
Tiba giliran kami untuk turun dari bas dan berjalan memasuki lobi hotel Al Farj Al Bade 5 (Maktab 83). Terasa bahang panas sebaik sahaja keluar dari bas yang berhawa dingin. Dikaunter, kami diberikan kad kunci bilik masing-masing dan pada kad aku tertera nombor 0714 manakala isteri aku 0707. Tak jauh bisik hati aku. Siapalah bakal roommate kami agaknya, harap-harap dapatlah roommate yang ok.
Rupanya, aku adalah roommate terakhir check in sekitar jam 12.30 pagi dan hanya ada 1 katil yang kosong iaitu katil yang berada di sebelah tingkap dan yang paling best, aku bakal mendapat coverage aircond yang paling maksima.
Subuh jam 4.03 pagi dan aku perlu tidur sebentar kerana perjalanan haji kami bakal bermula pagi nanti.