- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 778
Panggilan 'Arafah 1444H : Bab 14 - Ka’abah dan air mata
- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 778
5 Jun 2023, 4.50 pagi. Usai solat subuh di surau hotel, kami terus turun ke lobi bagi mendengar taklimat pertama bertajuk Tawaf Qudum/ Umrah bersama jemaah dari Maktab 83 (KT056). Pada ketika ini kami masih belum sempat mengenali antara satu sama lain kecuali roommate masing-masing sahaja.
Sekitar jam 5.45 pagi kami mula bergerak ke Masjidil Haram dengan debaran dan perasaan yang bercampur baur. Kami melalui Jalan Ibrahim Al Khalili yang mendatar serta menempatkan banyak hotel lain, kedai makanan, farmasi, kedai runcit dan juga barangan haji serta cenderahati. Di sepanjang laluan ini juga kami bertemu dengan ramai jemaah dari pelbagai pelbagai negara.
Aku melalui WC 7 (tandas wanita) dan WC 6 (tandas lelaki) sebagai tanda menghampiri King Fahd Gate (Pintu 79). Aku mengambil masa kira-kira 15 minit untuk sampai ke dataran yang menempatkan pintu 79 iaitu pintu yang paling hampir dengan laluan masuk kami. Laluan ini dibuka khas untuk jemaah lelaki yang berpakaian ihram serta terbuka untuk semua jemaah wanita.
Bagaikan mimpi sebaik sahaja aku mula memijak lantai di dataran Masjidil Haram buat kali pertama. Ramainya manusia tidak terkira. Terasa sebak apabila kami mula memasuki masjid, melangkah masuk bersama jemaah yang lain sehingga ke laluan yang bertulis To MATAF. Bagaikan mendapat kekuatan dan aura yang menjadikan kami lebih yakin dan bersemangat untuk meneruskan perjalanan.
Kami menuruni tangga terakhir untuk ke dataran Ka’abah dengan hati yang berdebar-debar. Kelihatan bangunan Ka’bah yang tersergam indah kini semakin dekat dihadapanku.
Tak terkata betapa gementarnya aku kerana selama hampir 52 tahun berkiblatkan Ka’abah, inilah kali pertama aku berdiri betul-betul dihadapannya. Subhanallah. Alhamdulillah.
Air mataku mengalir tanpa sedar, sebak menyaksikan keagungan Allah dihadapan mata. Suatu pemandangan yang paling indah yang tidak pernah aku saksikan disepanjang kehidupanku. Sukar sebenarnya untuk aku menggambarkan dengan perkataan. Hanya ucapan syukur sahaja yang mampu aku tuturkan.
Ya Allah, terima kasih kerana memberikan peluang ini kepada aku dan juga isteriku. Terima kasih kerana mengizinkan kami berada disini untuk menunaikan rukun islam yang ke lima.
Aku sedar, betapa kerdilnya kami tatkala berada di rumah Mu ini bersama dengan jutaan umat islam yang lain. Ampunkan kami Ya Allah. Sesungguhnya kami banyak membuat dosa.
Ampunkanlah dosa kedua ibubapa kami, anak-anak kami, adik beradik kami dan seluruh keluarga kami serta umat islam seluruhnya. Permudahkanlah urusan haji kami dan berikanlah kami haji yang mamrur Ya Allah.
Air mata kembali membasahi kelopak mataku tanpa dipinta. Ya, sesungguhnya hanya mereka yang pernah berada disini dan pada waktu ini sahaja yang dapat merasainya.
Kami terus melangkah mengelilingi Ka’abah dari satu pusingan ke pusingan yang lain sambil melihat pelbagai ragam jemaah lain dihadapan kami. Subhanallah, indah sungguh aturanMu.