- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 647
Panggilan 'Arafah 1444H : Bab 15 - Haji Tamattu' dan Umrah Wajib
- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 647
Haji Tamattu’ adalah merupakan salah satu dari 3 jenis haji yang boleh dilakukan oleh bakal haji selain dari Haji Ifrad dan Haji Qiran. Ia bermaksud mengerjakan ibadat Umrah terlebih dahulu, kemudian barulah mengerjakan Haji didalam tahun yang sama. Kebanyakkan jemaah dari Malaysia memilih Haji Tamattu’ kerana ia agak mudah dan sesuai dengan keadaan mereka.
Dalam bab terdahulu aku ada menceritakan tentang miqat di Qarnil Manazil, niat untuk mengerjakan umrah ketika berada didalam pesawat semasa memasuki mekah dan jemaah hendaklah dalam keadaan berihram.
Inilah permulaan Haji Tamattu’ dimana selepas sampai ke Mekah dan masih didalam keadaan ihram, jemaah perlu terus mengerjakan tawaf dengan mengelilingi Ka’abah sebanyak 7 pusingan, seterusnya melakukan Saie iaitu berjalan dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sebanyak 7 pusingan dan seterusnya bertahlul yakni bercukur.
Selepas bercukur, maka selesailah Umrah Haji dan jemaah bebas dari ikatan dan syarat-syarat ketika berihram. Jangan lupa kerana jemaah yang membuat Haji Tamattu’ wajib membayar dam dan ia boleh dilakukan sendiri ataupun melalui Tabung Haji.
-------------------------------------------
Aku memegang bahu isteri dan meneruskan langkah membelah jutaan manusia yang ada dihadapanku. Demi keselamatan dan tidak mahu bersesak-sesak, kami mengambil jalan selamat dengan berada agak jauh sedikit dari Ka’abah namun masih didalam dataran. Keadaan pada waktu itu tidaklah terlalu sesak, namun aku dapat merasakan suatu suasana yang tidak pernah aku alami sebelum ini. Subhanallah.
Alhamdulillah, 7 pusingan tawaf mengelilingi Ka’abah telah pun selesai dengan yakin sekitar jam 6.40 pagi. Kami bergerak sedikit ke hujung dataran mencari ruang kosong bagi mengerjakan solat sunat tawaf sambil mengambil peluang untuk bergambar sebagai kenangan.
6.55 pagi tanpa berlengah kami telah pun berada Bukit Safa bagi memulakan perjalanan Saie yang jarak diantara kedua-dua bukit adalah sekitar 405 meter. Keadaan masih terkawal dengan sesekali kami dikejutkan dengan kehadiran beberapa kumpulan jemaah yang berjalan secara berkumpulan sehingga memaksa kami dan jemaah lain bergerak ketepi.
Suasana agak sesak di kedua-dua buah bukit memandangkan ramai jemaah berhenti untuk berdoa dan ada juga yang mengambil kesempatan untuk melakukan solat sunat terutama di Bukit Marwah. Selain daripada itu, kami berjalan seperti biasa kecuali berlari anak bagi jemaah lelaki ketika dilaluan lampu hijau.
Sekitar jam 8 pagi kami telah pun selesai melakukan Saie dan berhenti seketika untuk solat sunat dikawasan yang agak lengang selepas Bukit Marwah. Proses Umrah wajib kami berakhir selepas bertahlul iaitu bercukur atau memotong sedikit rambut sebagai syarat.
Kami gunakan gunting kecil pemberian Kak Yah untuk proses Tahalul. Melihat kami bergunting, ramai pula jemaah yang ikut menumpang dan kami dengan rela hati menjadi tukang gunting seketika. Jam 8.20 pagi kami telah selesai rukun umrah dan kini telah bebas dari ikatan ihram.
Kami mengambil kesempatan untuk naik semula ke tingkat 1, mengadap Ka’bah sepuas-puasnya sambil berdoa. Kami juga turut menyampaikan doa-doa kiriman dari sahabat dan juga kenalan. Dalam perjalanan pulang ke hotel, kami sempat merakamkan sudut-sudut yang menarik dan saat-saat yang mungkin berlaku sekali dalam hidup. Kami berasa sangat gembira kerana salah satu dari proses haji kami telah selesai. Jam 9.45 pagi, kami sampai semula di hotel dan berehat.