- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 897
Panggilan 'Arafah 1444H : Bab 16 - Al Fajr Al Badee 5, Mekah
- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 897
Hotel Al Fadj Al Badee 5 adalah salah sebuah dari ratusan hotel lama dan ia terletak kira-kira 750meter dari dataran Masjidil Haram, Mekah. Dengan ketinggian 11 tingkat, ia mempunyai 329 buah bilik yang selesa. Walaupun kedudukannya agak ke dalam dari laluan utama iaitu Jalan Ibrahim Al Khalili, namun ia menawarkan perkhidmatan yang baik berbanding dengan hotel yang setaraf dengannya.
Oleh sebab itu, Tabung Haji menjadikan hotel ini sebagai salah sebuah hotel tetap bagi jemaah haji dari Malaysia. Hotel ini berada di Zon D (Misfalah) bersama-sama dengan Hotel Land Premium, Manar Al-Shorouq dan Rawdhat Al-Shorouq yang berada sedikit kehadapan daripada hotel kami.
Aku kongsi sedikit info hotel lain yang berada dibawah pengurusan Tabung Haji di Mekah.
Kami agak bertuah kerana ditempatkan di hotel ini memandangkan ia diantara yang paling hampir dengan Dataran Masjidil Haram serta mempunyai laluan yang mendatar selain dari dikelilingi oleh bangunan hotel dan kedai-kedai. Keadaan bilik dan fasilitinya juga baik. Kami berasa gembira dan bersyukur dengan apa yang disediakan termasuklah menu makanan sepanjang kami berada di hotel ini.
Bilik kami di tingkat 7 dan roommate aku ada 3 orang dan aku yang paling tua. Mereka terdiri daripada Salleh dan Anique yang tinggal di Shah Alam serta Haziq yang tinggal di Cheras. Alhamdulillah semuanya baik-baik dan sporting serta sangat membantu apabila diperlukan. Ye lah, orang tua kan.
Manakala roommate isteriku juga 3 orang, Fifah yang merupakan isteri kepada Anique (roommate aku), Kak Roseita dari Shah Alam dan Suzana dari Gombak. Mereka juga sangat baik dan banyak membantu sepanjang kami di sini.
Sepanjang berada di Mekah, mereka jugalah yang menjaga kami apabila kami tidak sihat, bantu mengambil makanan sekiranya kami tidak sempat ke café dan berkongsi makanan dan keperluan lain tanpa rasa kekok. Alhamdulillah dan syukur kepada Allah swt kerana telah dikurnia orang baik-baik disekeling kami.
Kami berkongsi cerita dan pengalaman apabila ada masa terluang kerana selain daripada berada di Masjid, kami kerap menghabiskan masa didalam bilik sahaja, berehat sebelum beriktikaf di Masjidil Haram.
Sebagai ‘orang tua’ didalam bilik kami, aku juga sering berkongsi pengalaman bersama mereka yang lebih muda sambil aku juga mengambil apa yang baik daripada perkongsian mereka. Kita saling belajar dan menimba ilmu tidak kira tua ataupun muda.
Terdapat banyak hotel lain berhampiran dengan kami yang terdiri dari pelbagai peringkat perkhidmatan. Jemaah yang tinggal di kawasan kami juga terdiri dari jemaah Bangladesh, China, Urbekistan dan beberapa negara asia yang lain.
Di persekitaran hotel kami juga terdapat penempatan yang tidak tersusun dan dalam keadaan yang agak kurang memuaskan. Ini dapat dilihat dengan jelas dari bilik kami.
Kawasan persekitaran Masjidil Haram mengalami banyak perubahan berbanding 30 tahun yang lepas dan ia amat ketara sekali dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Banyak bangunan lama dirobohkan bagi membina hotel dan prasarana yang lebih baik serta dapat menampung lebih ramai jemaah pada satu-satu masa. Walaubagaimanapun terdapat kawasan-kawasan yang masih belum menerima pembangunan yang lebih terancang lagi.