- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 878
Panggilan 'Arafah 1444H : Bab 17 - Shopping & Pos Laju pertama (6 Jun 2023)
- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 878
Seminggu pertama di Mekah kami bercadang untuk berada di Masjidil Haram pada 2 sesi iaitu waktu subuh bermula jam 2.30 pagi hingga 7.00 pagi, bersarapan di luar dan kemudian kembali ke hotel untuk berehat dan sesi kedua bermula jam 5.30 petang untuk waktu maghrib hingga isyak dan kembali ke hotel untuk dinner sebelum jam 10.00 malam.
Memang agak mencabar terutama sekali apabila kami tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid kerana pintu sudahpun ditutup (penuh) dan kami diminta untuk terus naik ke bahagian roof top. Bahagian atas ini mempunyai ruang tawaf yang paling jauh dan juga hampir dengan kawasan pembinaan yang dihentikan buat sementara waktu. Jadi keadaan agak berdebu dan ditambah dengan suhu mencecah sehingga 46 darjah celcius.
Atas sebab itulah kami perlu berada sekurang-kurangnya 2 jam sebelum masuk waktu subuh (4.03 pagi) dan maghrib (7.08 malam) memandangkan telah ramai jemaah haji dari seluruh dunia mula beransur-ansur sampai.
Hari kedua di bumi Mekah kami bercadang untuk mula membeli cenderahati untuk kenalan di Malaysia. Bak kata orang, “awal tak kalut”. Jadi usai solat dhuha kami bersarapan di D’saji, Al Safwah Tower dan terus membeli belah disitu.
Kebetulan aku juga telah berjanji dengan sahabat XSAS88 iaitu Wan Sharifudzillah, Nizar Sham dan Rimah untuk berjumpa di situ untuk sarapan bersama.
Jam 7.30 pagi kami mula membeli-belah dengan target untuk mendapatkan sejadah bertulis nama dan juga jubah sebagai cenderahati. Dari satu kedai ke satu kedai kami mencari dan akhirnya berjaya keluar dari Al Safwa sekitar jam 9.00 pagi.
4 beg plastik kami jinjing dari Al Safwah hingga ke lobi hotel dengan beberapa kali berhenti berehat. Sampai sahaja di lobi hotel, kami terus ke kaunter pos laju untuk proses pengeposan.
Kami dilayan baik oleh seorang kakitangan Pos Laju bernama Bro Nik Mon yang biasa lalu di Alam Budiman katanya. Kotak pertama kami seberat 6.2kg (RM18/kg) dan menggunakan kotak bersaiz M (RM11.50). Boleh tahan juga harganya tapi itulah harga yang perlu dibayar demi untuk kemudahan kami dan juga para jemaah yang lain.
Kami memang perlu menggunakan perkhidmatan kurier memandangkan kami hanya mempunyai had berat 30kg yang dibenarkan semasa balik nanti. Jadi yang pasti, akan ada kotak yang kedua, ketiga dan seterusnya nanti. Kami pasrah.
Perkhidmatan kurier yang disediakan oleh Pos Laju Malaysia ini sangat membantu para jemaah kerana ia sangat memudahkan.
Kami dimaklumkan juga bahawa setiap kakitangan yang bertugas sebenarnya mendapat peluang untuk menunaikan Haji cuma mereka perlu berada disini hampir 3 bulan berbanding jemaah haji yang lain. Syabas Pos Malaysia atas inisiatif dan perkhidmatan yang terbaik ini.
Kotak kedua kami adalah pada 7 Jun 2023 seberat 8.2kg dengan sedikit kurma, cokelat dan juga kekacang manakala kotak pertama kami yang dipos pada 6 Jun 2023 telah selamat tiba dipejabat aku pada 14 Jun 2023. Cepat kan?